Friday, March 19, 2010

Imam As-Syafie Ulama Sepanjang Zaman

Bismillahirrahmanirrahim...

Imam As-Syafie merupakan seorang tokoh yang agung. Kelu lidah ini bagi menerangkan kemuliaannya, lenguh qalam menari di atas kertas untuk mencoretkan akan kehebatannya. salah seorang daripada pemimpin mazhab empat yang menjadi bukti kepada karamahnya yang berpanjangan dan berterusan. Diakui oleh lawan dan kawan tentang kemulian dan kehebatannya sehingga menjadi kekaguman semua umat di zamannya dan zaman selepasnya.

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdillah, Muhammad bin Idris bin Abbas bin Ustman bin syafie' bin Saib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abd Muttalib. Dilahirkan pada 150H dan wafat pada 204H pada usianya 54 tahun. Berketurunan Quraisy bertemu dengan keturunan Rasulullah melalui moyangnya yang bernama Abd Manaf. Keturunan yang mulia ditambahi dengan ilmu yang memenuhi bumi, menjadi ikutan ummat sepanjang zaman. Kewafatan Imam adalah musibah ummat.

Diceritakan bahawa seorang bermimpi pada malam kewafatan As-Syafie bahawa Rasulullah s.a.w wafat pada malam itu, yang menyebabkan kesedihan manusia. Ar-Rabi' bermimpi bahawa Nabi Adam a.s. wafat, maka dia bertanya kepada orang alim dalam bidang ta'bir mimpi, katanya: "Ini adalah tanda bahawa akan mati orang yang paling alim". Tidak lama selepas itu Imam as-Syafie wafat. Seolah-olah kewafatan As-Syafie sama seperti kewafatan Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi Adam a.s.

Imam As-Syafie mempunyai keperibadian yang unggul dan hebat. Disamping keilmuannya yang tidak dapat dicabar, sifat pemurahnya dan rendah diri kepada semua manusia. Beliau juga seorang yang berani mempertahankan kebenaran dan lantang dalam menegakkan agama Islam. Apa yang menariknya kemunculannya menyatukan dua aliran yang berbeza. Aliran yang mengutamakan akal yang dikenali sebagai Ahlu Ra'yi dan aliran hadis yang dikenali sebagai Ahlu Hadis.

Ramai Ulama' berusaha untuk memperincikan latar belakang hidup beliau antaranya Imam Daud Az-Zahiri, As-Saji, Imam Darul Qutni, Al-Aajuri, Ar-Razi, Imam Baihaqi dan banyak lagi. Antara karangan termoden ialah apa yang ditulis oleh Imam Abu Zahrah. Beliau meninggalkan ratusan kitab yang menjadi pedoman kepada semua para alim ulama'. Yang paling tersohor ialah kitan Al-Um, Ar-Risalah, Ahkamul Quran, Al-Hujjah dan lain-lain lagi.
Antara kata-katanya yang masyhur ialah:
  • Menuntut ilmu lebih mulia daripada ibadat sunat
  • Siapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan akhirat maka hendaklah dengan ilmu
  • Ibadat yang paling hampir kepada Allah selepas perkara wajib ialah menuntut ilmu.
  • Hiasan ilmu ialah wara' dan lemah lembut
  • Ilmu yang sebenar bukannya yang dihafaz tetapi yang memberi manfaat
  • Perdebatan dalam ilmu mengeraskan hati dan menimbulkan dendam
  • Sesiapa yang tidak dimuliakan dengan takwa maka tiada kemulian baginya
  • Kebaikan dunia dan akhirat pada lima perkara; Kaya jiwa, menahan diri daripada melakukan penganiayaan, rezki yang halal, bertakwa, dan percaya kepada Allah pada semua keadaan.
Terlalu banyak yang hendak dicoretkan mengenai Imam yang mulia ini. Oleh kerana keterbatasan waktu, cukup setakat ini sahaja.
Semoga ilmu kita sentiasa bertambah. Amin.
by:Yang Berbahagia Ustaz Mat Esa Bin Deraman


Cik penulis:Orang yang mahal harga diri adalah orang yang rendah hati serta miskin di hatinya, rendah nada suaranya bila berbicara, tidak banyak bicara (yang bukan-bukan) , tidak banyak kerenah, kuat berfikir, berani menghadapi kenyataan, tenang, kuat berusaha dan apabila sulit hatinya sabar.=)


No comments: